DSA

Rabu, 1 Ogos 2012

PENGENALAN MORFOLOGI


1.1          PENGENALAN MORFOLOGI

1.1.1      TAKRIF MORFOLOGI

Morfologi merupakan satu bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan.
(Abdullah Hassan, Morfologi, 2006)

Morfologi merupakan bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan ayat.
(Siti Hajar Abdullah, Bahasa Melayu 1, 2008)

1.1.2      UNSUR-UNSUR MORFOLOGI

1. Secara umumnya, setiap struktur terbina dari unsur-unsur  yang lebih kecil.
2. Struktur bahasa juga mempunyai unsurnya yang dicantum agar menjadi satu perkataan.
3. Kajian struktur perkataan dipanggil Morfologi manakala kajian mengenai binaan ayat pula dipanggil Sintaksis.
4. Ada 2 unsur yang terlibat dalam membina perkataan iaitu Morfem dan  kata.

MORFEM
1. Morfem ialah unit bahasa yang terkecil yang mempunyai makna dan fungsi bahasa.
2. Antara unsur-unsur bahasa seperti ber-, ter-, ke-, me-, -nya, -kah, -lah, -pun, -an tidak boleh diperkecilkan lagi namun mempunyai fungsi seandainya digabungkan dengan perkataan lain seperti bertanya, memaafkan.
3. Oleh yang demikian, unsur-unsur di atas merupakan morfem.

KATA
1. Unsur-unsur lain seperti rumah, kereta, pokok, udara, jalan dan duduk tidak boleh diperkecilkan lagi kerana ianya tidak akan memberi makna.
2. Jika kata itu tidak boleh diperkecilkan lagi dan akan menjadi tidak bermakna maka perkataan itu juga adalah unit yang terkecil dan morfem.
3. Kata juga merupakan unsur morfologi yang digunakan untuk membentuk perkataan lain.

1.1.3      TEORI PEMBENTUKAN KATA

1. Proses pembentukan kata menerangkan bagaimana sesuatu kata itu dibina dan dibentuk sehingga dapat menghasilkan ayat dan ujaran dalam sesuatu bahasa.
2. Terdapat beberapa bentuk perkataan seperti :
·   Perkataan tunggal seperti satu, baik, sekolah dan panjat.
·   Perkataan terbentuk hasil proses pengimbuhan seperti berkawan, terjunam, dan disarankan.
·   Perkataan terbentuk hasil pemajmukan dan penggandaan seperti buku tulis, gambar rajah, bahan, bukit-bukau dan bantu-membantu.
3. Bahasa melayu merupakan bahasa yang bersifat aglutinatif iaitu bahasa yang kebanyakan perkataannya terbentuk melalui proses pengimbuhan, iaitu penggabungan morfem kata dasar dengan morfem imbuhan.
4. Proses pembentukan yang bersifat derivative dapat menerbitkan banyak perkataan iaitu melalui percantuman kata dasar dengan pelbagai imbuhan yang terdapat di dalam bahasa melayu seperti ‘serap’ yang ditukar kepada serapan, penyerap, diserap dan sebagainya.
5. Kaedah pembentukan bahasa melayu tidak sama dengan bahasa arab yang bersifat fleksi iaitu pembentukan melalui perubahan fonem atau bunyi kata dasar itu sendiri, iaitu berdasarkan golongan kata dan kasusnya.
6. Secara umumnya, perkataan bahasa melayu wujud melalui 2 sumber iaitu pertama bahasa melayu berasal dari rumpun Austronesia dan kedua perkataan terbentuk dari proses tertentu seperti :

a)Akronim
Pembentukan melalui proses memendekkan dan meringkaskan perkataan yang kebanyakan terdiri dari kata nama supaya memudahkan untuk ditulis dan dilafazkan sebagai contoh
·   JAIS – Jabatan Agama Islam Selangot
·   IPG – Institut Pendidikan Guru
·   UPSI – Universiti Pendidikan Sultan Idris
b)   Analogi
Pembentukan melalui proses ini adalah dengan mengiaskan kata baharu dengan bentuk kata yang telah sedia ada. Misalnya perkataan tatabahasa memang telah ada, dan melalui proses analogi diciptakan pula perkataan tatatertib, tatacara dan tatahias. Antara contoh lain ialah :
·   Prasangka – Prasarana, prasekolah, prauniversiti
·   Jurunikah – juruwang, juruaudit, juruacara
·   Lelabah – gegelang, jejari, rerambut
c) Peleburan Fonem
Peleburan kata melalui proses ini adalah dengan menggabungkan perkataan agar kelihatan satu kata dengan menggugurkan fonem-fonem tertentu. Misalnya perkataan benda + alir menjadi bendalir, terbentuk setelah satu fonem vokal /a/ digugurkan.
d)   Perluasan Makna
Pembentukan perkataan dengan cara ini adalah dengan mengambil kata-kata yang telah sedia ada dan kemudiannya diperluaskan maknanya dengan hal-hal lain. Seperti perkataan Family yang diperluas maknanya menjadi famili yang boleh digunakan kepada manusia termasuk haiwan.
e)           Pemberian Makna Khusus
Perkataan itu dibentuk dengan mengambil kata-kata yang telah sedia ada lalu diberi makna khusus atau dijadikan istilah. Misalnya perkataan surih pada asalnya bermaksud bekas atau kesan yang dilalui siput di atas daun. Namun setelah dilakukan proses ini surih juga bermaksud meniru atau melukis peta.
f) Peminjaman Kata
Proses ini sangat luas digunakan dalam bahasa melayu malah bahasa lain juga. Bahasa melayu banyak meminjam perkataan dari bahasa arab dan inggeris sehingga perkataan tersebut telah sebati dengan penutur bahasa melayu. Proses ini disebabkan oleh ketiadaan pembendaharaan kata untuk sesuatu makna tersebut. Antara contohnya ialah :
·   Element – elemen
·   Magistrate – majistret
·   Diplomat – diplomat
g)Penambahan
Proses ini adalah melalui penambahan kepada kata akar satu suku kata dengan perkataan yang lain yang terdiri dari satu suku kata juga. Bentuk perkataan ini telah sebati dengan penutur bahasa melayu. Antara contohnya ialah :
·   Bu + kit = bukit
·   Bu + lan = bulan
·   Bu + luh = buluh
h)   Penciptaan
Pembentukan kata melalui proses ini bermaksud penciptaan perkataan baru tanpa disandarkan kepada perbendaharaan kata yang sedia ada. Seperti perkataan kiwi iaitu sejenis burung di Australia tetapi diciptakan pula perkataan mengiwi yang bermaksud mengilapkan kasut menggunakan bahan khas.
i)  Penggemblengan
Perkataan ini dicipta dengan menggabungkan dua perkataan atau lebih, namun digugurkan bahagian lain dalam perkataan tersebut. Sebagai contohnya ialah :
·   BERNAMA – Berita Nasional Malaysia
·   PROTON – Perusahaan Otomobil Malaysia
j)  Penyempitan Makna
Pembentukan melalui mengambil perkataan yang telah sedia ada namun disempitkan maknanya kepada sesuatu yang lebih umum. Seperti perkataan tuan puteri yang merujuk kepada wanita berketurunan raja namun kini perkataan tuan telah diambil dan disempitkan makna merujuk kepada seorang lelaki yang patut dihormati malah boleh digunakan kepada kedua jantina.
k)Penyingkatan
Melalui proses ini, perkataan tersebut dipendekkan apabila ditulis namun sering dianggap 1 perkataan sahaja seperti :
·   Dr – Doktor
·   Tv – Televisyen
·   Prof – Professor

7. Setiap bentuk perkataan mempunyai cara pengejaan yang tersendiri dan membawa makna yang khusus.
8. Sebagai contoh perkataan gelung, golong dan gulung tidak boleh disalahguna dalam struktur ayat kerana sudah member makna yang berbeza.
9. Perkataan gelung bermaksud benda yang berlingkar, lengkung atau ikal seperti rotan, tali dan rambut.
10.   Perkataan golong pula bermaksud pengasingan ke dalam kumpulan tertentu.
11.   Perkataan gulung pula benda yang melembar-lembar atau berutas-utas yang dilipat hingga berbentuk bulat atau bulat panjang.